Saya
ada menerima e mail yang menerangkan tentang airmata Nabi Adam `alaihis
salam. Ramai orang yang percaya kepada cerita-cerita seperti ini kerana
ianya disebut dalam buku-buku agama. Mungkin orang ini membaca dari
kitab yang dibeli dikedai buku agama. Pengarang buku itu pula mungkin
mengambilnya dari kitab lain, antaranya dari kitab
kuning ( kitab jawi klasik).
Setelah
menerima mesej begitu maka saya pun mula membuka kitab-kitab jawi
koleksi saya dan akhirnya saya menemuinya dalam sebuah kitab kuning
yang berjudul “ Jam`ul Fawaaid”, muka surat 255 , cetakan matba`ah Bin
Halabi, Patani, Thailand.
Dibawah ini saya salinkan untuk anda semua :
“ Maka pertama orang yang menangis daripada makhluq Adam `alaihis salaam tatkala turun daripada syurga kepada
bumi maka menangis tiga ratus tahun dan tiada mengakatkan kepadanya
kepada langit kemudian daripada yang demikian itu malu daripada ALLAH
Ta`ala dan sujud ia satu sujud diatas bukit Hindi seratus tahun
menangis ia hingga keluar matanya pada bukit serindib maka ditambahkan
ALLAH pada demikian bukit itu daripada air mata Dardhi dan Qoronful dan
jadilah burung demikian bukit dan meminum sekali burung pada satu hari akan air
matanya Adam `alaihis salaam dan berkata ia meminum akan air laut dan
air didarat dan air hujan dan tiada kami meminum akan minuman yang
terlebih manis daripada air ini maka menyangka Adam bahawasanya segala
burang mempersenda-senda akan dia maka sembah Adam hai TUHAN ku telah
kau kerasi atasku segala burung mampersenda- sendakan daku sebab aku
mengena maksiat akan dikau maka mewahyu Adam bahawasanya tiada aku
jadikan minumannya yang terlabih lazat daripada air mata orang yang
berdosa “.
Maksudnya setelah saya edit :
Orang
yang pertama menangis dari kalangan makhluq ialah Nabi Adam `alaihis
salaam ketika turun dari syurga ke bumi. Nabi Adam `alaihis salam
menangis selama 300 tahun dan setelah itu dia tidak pernah mendongak
kepalanya ke langit kerana malu kepada ALLAH Ta`ala. Nabi Adam `alaihis
salam juga bersujud dengan satu kali sujud diatas bukit Hindi selama
100 tahun. Air mata Nabi Adam `alaihis salam membasahi bukit Serindib
sehingga ALLAH jadikan dari air matanya itu Dardhi dan Qoronful (bunga cengkih) dan burung di bukit itu menjadi Towawis ( burung merak ).
Pada suatu hari semua burung meminum air mata Nabi Adam `alaihis salaam lalu berkata :
“ Kami sudah minum air laut, air di daratan dan air hujan tetapi kami
belum pernah merasai air yang terlebih manis daripada air ini . Apabila
Nabi Adam `alaihis salam mendengar percakapan burung-burung itu maka
dia menyangka bahawa burung-burung itu mempersenda-sendakannya (
memperlinya) lalu dia mengadu kepada ALLAH, ujarnya : “ Wahai TUHAN ku
! Engkau telah menjadikan semua burung mampersenda-sendakan daku kerana
aku telah melakukan maksiat kepada MU (dengan memakan buah yang
dilarang). ALLAH mewahyukan kepada Nabi Adam dengan firman NYA : “ AKU
tidak jadikan minuman yang terlebih lazat daripada air mata orang yang
berdosa..
Adapun kalimah “Dardhi “ , saya tak pasti apakah maksudnya . namun begitu saya rasa sejenis rempah juga seperti bunga cengkih.
Pengarang
kitab ini , iaitu Al marhum Shwikh Daud Al fatani tidak menyatakan dari
mana cerita berkaitan dengan berkaitan air mata Nabi Adam `alaihis
salam ini .
Sewaktu saya belajar di sekolah pondok dahulu pada tahun-tahun 70an ,
saya memang mempercayai cerita-cerita pelik seperti ini (banyak lagi
cerita pelik yang saya tidak nyatakan disini). Oleh itu maka tidak
hairanlah ramai guru-guru agama yang menerima pendidikan di pondok
menceritakan cerita-cerita pelik seperti ini dan akibatnya ramailah
juga orang yang mempercayainya kerana diceritakan oleh guru-guru agama.
Mustahil mereka menipu atau mereka-rekakan cerita atau ianya hanyalah
dongeng.
Memang
guru-guru agama ini tidak menipu kerana mereka bercerita bersumberkan
kitab ini atau kitab-kitab yang seumpamanya seperti kitab “ Qasosul
Anbia` “.
Namun begitu yang silapnya mereka
tidak menyatakan bahawa “ Tersebut dalam kitab sekian sekian cerita
berkaitan denagn air mata Nabi Adam “.
Apabila
mereka tidak menerangkan begini maka ramai juga orang yang menganggap
bahawa cerita itu cerita yang benar bersumber dari hadith Nabi.
Mereka tidak menyatakan seperti ini kerana 2 sebab:
- Mungkin
mereka juga percaya bulat-bulat kerana mereka menyangka semua yang
tercatit dalam kitab adalah benar lebih-lebih lagi ianya dikarang oleh
`alim besar.Oleh itu mereka mesti menyampaikannya kepada orang
ramai.sebab itu tidak mustahil kalau ada antara mereka yang berkata :
Kalau tak percaya kepada kitab hukumnya kafir.
Kata-kata
seperti ini adalah salah kerana perkataan ‘ kitab ‘ yang disebut itu
bukan merujuk kepada al Quran tetapi merujuk kepada kitab yang ditulis
oleh ulama.
- Mungkin
mereka tidak tahu bagaimana nak merujuk kepada hadith-hadith sahih atau
dhaif kerana mereka tidak mendalaminya atau mereka hanya pandai membaca
kitab jawi sahaja dan tidak lancar membaca kitab yang berbahasa `Arab
sedanglkan ilmu yang berkaitan dengan hadith tak banyak ditulis dalam
bahasa melayu.
Untuk
pengetahuan semua, banyak cerita-cerita yang pelik sebenarnya diambil
dari riwayat ‘Israiiliyyat” iaitu diambil dari kitab Taurat (Old
Testament).Untuk keterangan lanjut sila lihat tajuk khusus berkenaannya
dibawah.
Pengarang
kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab agama memasukkan cerita-cerita ini
didalam kitab tafsir mereka. Oleh itu sekiranya kita baca kitab-kitab
tafsir yang memuatkan cerita-cerita pelik ini maka ada diantara kita
yang menyangka cerita-cerita ini sebahagian dari tafsir al Quran.
Kerana
itu , sekiranya kita membaca kitab tafsir maka hendaklah kita teliti ,
sebagai contoh dalam kitab tafsir Al Baidhawi . Kitab Tafsir al
Baidhawi ini sangat popular di kalangan pelajar sekolah pondok di
Malaysia dan pesantren di Indonesia . kitab ini berasal dari bahasa
Arab dan telah diterjemahkan oleh al marhum Sheikh Abdul Rauf bin Ali al Fansuri al Singkili atau Sheikh Abdurrauf kuala, salah seorang ulama besar Acheh.
Tidak diketahui tarikh lahirnya tetapi kitab ini dicetak buat pertama
kali di Istanbul (Turki) pada tahun 1302 H (1884 M). Kitab yang ada
ditangan saya ialah dicetak di percetakan Sulaiman Mar`ii tahun 1951
dan saya mempelajarinya sewaktu menuntut dipondok Sungai Durian, Kuala
Krai, Kelantan ( sila lihat laman web http://www.pondoksgdurian.com/ )
Sheikh Abdul
Rauf ini merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan
karyawan. Beliau dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat
Sumatera). Mengenai tarikh kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa
riwayat yang berbeza. Ada yang
menyatakan
bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang menyatakan
bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang menyatakan
bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M. Bagaimanapun, tiada
percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal dunia pada
tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44).
Sebagai penulis tafsir paling awal di Nusantara, karya beliau tersebar ke seluruh wilayah Melayu-Indonesia.
Didalam
kitab tafsir al Baidhawi ini disebut cerita tentang 2 orang Malaikat “
Harut dan Marut “. Namun begitu pengarang kitab Tafsir ini menyebut : “
kata pengarang tafsir ath Tha`labi bahawa Malaikat Harut dan Marut …….. “
Apa
yang kita faham dari kata pengarangnya : “ diceritakan “ . Ini bermakna
bukannya diambil dari hadith Nabi tetapi dari sumber lain.
Namun
begitu ramai guru agama apabila menafsirkan ayat –ayat ini (kisah ini
disebut dalam suratul Bqaqarah ayat 101) , terus sahaja menceritakan
tentang 2 malaikat ini dan mereka tidak menyatakan : “ diceritakan
bahawa …… “ atau “ mengikut ceritanya bahawa ….. “ .
Oleh kerana mereka tidak menyebut seperti ini maka pendengar ceramah akan menyangka itu adalah cerita yang benar sedangkan cerita itu adalah dari kisah “ Israaiiliyyah “.
PENGARUH ISRAIILIYYAT KE ATAS KITAB TAFSIR
Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dengan kemasukan thaqafah (peradaban) Bani Israil (yang berhijrah ke Semenanjung `Arab) ke dalam thaqafah Arabiyyah di
zaman Jahiliyyah. Bangsa Yahudi ini membawa bersama-sama mereka
ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama
mereka, dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada
huraian-huraian, dan juga yang mereka warisi daripada satu generasi ke
satu generasi daripada nabi-nabi mereka dan pendita-pendita mereka.
Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-midras iaitu
sekolah-sekolah tempat mereka mempelajari setiap perkara yang diwarisi.
Mereka juga mempunyai tempat-tempat ibadah dan syiar agama mereka.
Kemudian,
datang ajaran Islam dan kitab ALLAH yang terkandung di dalamnya ilmu
dan agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk
Semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi wasallam
pusat negara Islam adalah al Madinatul Munawwarah. Untuk mendidik para
sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi
wasallam ini dilakukan di Masjid Madinah. Di kota Madinah dan di
sekitarnya tinggal bermuqim beberapa golongan Yahudi seperti Bani
Qainuqa’,Bani Quraizah, Bani Nadhir, Yahudi Khaibar, Taima’dan Fadak.
Terdapat
di kalangan ulama Yahudi atau ahli Kitab di Madinah yang memeluk Islam
seperti Abdullah bin Salam Radhiallaahu `anhu. Beliau dan orang
sepertinya menjadi tempat rujukan sahabat untuk bertanya secara
terperinci tentang kisah-kisah yang sama yang juga disebut di dalam al
Quran dan Taurat. Namun begitu
para
sahabat Radhiallaahu `anhum tidak menerima bulat-bulat apa yang
diceritakan kepada mereka. Malah mereka menapisnya dengan akal dan juga
syara`. Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syara`
dan menolak sekiranya bercanggah dengan keduanya. Seterusnya mereka
berdiam diri terhadap perkara-perkara yang tidakjelas tentang benar dan
salahnya.
Ibnu
Khaldun (1968, 1: 786-787) menyatakan apabila timbul keinginan di
kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian
makhluq dan rahsia kejadian, mereka cenderung bertanya ahli kitab dari
kalangan Yahudi dan Nasrani. Majoriti mereka adalah dari suku bangsa
Humair.Apabila mereka memeluk Islam, pengaruh daripada ajaran agama
mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluq, cerita-cerita
tentang peperangan dan sebagainya masih kuat dalam diri mereka. Antara
golongan mereka ialah Ka’abul Akhbar, Wahab bin Munabbih, dan Abdullah
bin Salam. Radhiallaahu `anhum. Kerana inilah cerita-cerita
Israiiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan riwayat-riwayat daripada mereka.
Banyak lagi cerita-cerita lain yang dimuatkan dalam kitab-kitab tafsir yang saya tidak sentuh disini seperti cerita Nabi Ayyub sakit sehingga tinggal lidah dan hati, Nabi Daud yang merampas isteri orang, cerita ular yang menolong Iblis masuk ke syurga untuk menipu Nabi Adam dan Hawwa`, kisah Talut dan Jalut (al Baqarah 2: 248), Kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis, Kisah Nabi Syu’aib dan Nabi Musa dan lain-lain lagi.
Cukuplah
sekadar beberapa contoh yang saya paparkan disini sekadar peringatan
kepada kita sesama umat Islam. Saya harap penerangan ini bermanfaat
kepada diri saya dan anda semua. WALLAAHU `AA`LAM